KUALA LUMPUR: Malaysia menyuarakan harapan agar rundingan yang sedang diusahakan untuk mewujudkan gencatan senjata dan kestabilan berkekalan di Sudan, berjaya dicapai.

Harapan itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Pemangku Menteri Luar Negeri Sudan Hussein Awad Ali Mohamed di Putrajaya hari ini.

“Perbincangan kami tertumpu kepada konflik di Sudan khususnya mengenai status rundingan untuk mewujudkan gencatan senjata dan kestabilan yang berkekalan di Sudan serta situasi kemanusiaan yang membimbangkan yang dihadapi oleh rakyat Sudan.

“Saya telah menyuarakan harapan agar rundingan damai yang sedang diusahakan ini berjaya dicapai supaya Sudan dapat kembali menjadi sebuah negara berpotensi besar serta kemampuan dan keupayaan rakyatnya dalam meneruskan usaha-usaha ke arah kemajuan dan pembangunan,” kata Anwar menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata Malaysia sentiasa berusaha menyalurkan sokongan selain berdoa semoga keamanan dan kestabilan Sudan akan tercapai bagi membolehkan rakyatnya menikmati kestabilan politik dan sosioekonomi yang berkekalan di negara itu.

Anwar berkata Hussein Awad juga menyampaikan penghargaan Kerajaan Sudan atas bantuan Kerajaan Malaysia kepada negara dan rakyatnya yang memberi impak sangat bermakna.

Hussein Awad yang sedang dalam lawatan ke Malaysia untuk menghadiri satu persidangan bertajuk “Sudan: The Forgotten War’ turut menyampaikan warkah Presiden Majlis Kedaulatan Peralihan Sudan kepada Anwar.