PUTRAJAYA: Malaysia dan Indonesia bersetuju menyambung semula perbincangan tahunan antara kedua-dua negara yang terakhir diadakan pada 2017.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu selepas pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia Prabowo Subianto di Jakarta baru-baru ini.
Fahmi, yang juga jurucakap kerajaan, berkata Anwar dan delegasi akan ke Jakarta pada 29 Julai ini bagi menghadiri sesi konsultasi tahunan serta acara berkaitan Sekretariat ASEAN.
“Perbincangan dengan Presiden Indonesia diadakan dalam suasana positif, dan kita bersetuju memulakan semula dialog tahunan antara pemimpin kedua negara,“ katanya dalam sidang media di Putrajaya.
Antara isu utama yang akan dibincangkan termasuk pertikaian sempadan maritim di Ambalat, yang sudah berlarutan lebih dua dekad. Fahmi menegaskan bahawa perbincangan Julai ini hanyalah permulaan, bukan penyelesaian muktamad.
“Banyak aspek teknikal perlu dipertimbangkan, tetapi kita komited mencari penyelesaian win-win,“ jelasnya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini menyatakan hasrat Malaysia untuk mewujudkan kerjasama saling menguntungkan dengan Indonesia berhubung isu Ambalat.
Media melaporkan Anwar dan Prabowo juga bersetuju memperkukuh kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan wilayah sempadan.