BANGKOK: Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Datuk Mohammad Nizam Jaffar mengulangi komitmen Malaysia dalam memainkan peranan sebagai pengantara berkecuali dalam menyokong pelaksanaan gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.
Jurucakap Tentera Diraja Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suvaree berkata komitmen itu disampaikan semasa lawatan rasmi Mohammad Nizam ke Thailand pada Rabu, sebagai sebahagian daripada usaha mempromosikan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan.
Pada Rabu, Mohammad Nizam mengadakan kunjungan ke atas Komander Wilayah Tentera Pertama dan Kedua untuk menerima taklimat berhubung isu sempadan semasa, menjelang misi pemantauan yang dirancang.
“Beliau turut membentangkan rancangan untuk menubuhkan Pasukan Atase Pertahanan Asing (DA Team) serta Pasukan Pemantau ASEAN bagi memantau gencatan senjata dan melaporkan perkembangan sebenar kepada negara anggota ASEAN,” kata Winthai dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut Winthai, Mohammad Nizam menekankan tiga perkara utama iaitu gencatan senjata serta-merta, tiada penambahan kekuatan tentera dan tumpuan kepada bantuan perubatan sebagai sebahagian daripada persiapan misi pemantauan.
Semasa lawatan itu, Mohammad Nizam turut bertemu dengan Leftenan Jeneral Boonsin Padklang, Komander Wilayah Tentera Kedua di Wilayah Ubon Ratchathani dan Leftenan Jeneral Amarit Boonsuya, Komander Wilayah Tentera Pertama di Bangkok bagi membincangkan situasi sempadan dan penyelesaian yang mungkin diambil.
Winthai memberi jaminan kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia bahawa Thailand mematuhi sepenuhnya perjanjian gencatan senjata dan bersedia menyokong penempatan pasukan pemantau dalam masa terdekat.
Ketegangan di kawasan sempadan bermula dengan pertempuran kecil pada 28 Mei, sebelum mencetuskan konflik bersenjata sepenuhnya pada 24 Julai.
Pada Isnin, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat susulan mesyuarat khas di Putrajaya yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN ketika ini - BERNAMA