Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia memulakan tahun 2025 sebagai Pengerusi ASEAN dengan mengukuhkan kerjasama serantau dan antarabangsa, menerusi lawatan pemimpin negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia serta Jepun ke Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata Kepengerusian ASEAN merupakan satu kesempatan untuk membina kekuatan bersama rangkaian ASEAN yang akan turut memberi manfaat kepada Malaysia bersama rakan-rakan serantau.

“Ini yang kita tekankan bersama Perdana Menteri Singapura, tidak menganggap kekuatan harus di Malaysia dan yang lain dipinggirkan atau kekuatan di Thailand dan yang lain dipinggirkan.

“Sebaliknya mencari jalan dan kaedah menyelesaikan dan membincangkan isu-isu yang merumitkan kita, termasuk Myanmar kerana prasyarat utama untuk mengangkat kekuatan ekonomi, keamanan, kestabilan politik (adalah) melalui dasar yang jelas, dasar ekonomi yang dapat memangkin kekuatan melalui penglibatan sektor swasta dan kecekapan sektor awam,“ katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM), di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri.

Anwar berkata semasa lawatan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong pada Isnin dan Selasa lepas, kedua-dua pemimpin telah melancarkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang akan menjadi fokus kekuatan bagi Johor dan Singapura serta persekitarannya.

Perdana Menteri berkata lawatan kerja Presiden Indonesia Prabowo Subianto hari ini pula akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan kerjasama ekonomi kedua-dua negara.

“Antaranya kerjasama dengan sektor-sektor utama Indonesia dan Khazanah (Nasional Berhad) serta syarikat-syarikat utama Malaysia, termasuk dalam bidang digital,“ katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba pula akan tiba di Malaysia esok bagi membincangkan beberapa isu pelaburan, perdagangan dan peralihan tenaga, termasuk rancangan untuk menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga baharu di rantau Asia Tenggara.

Anwar berkata Disember lepas, beliau turut mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri Thailand Dr Thaksin Shinawatra di Langkawi bagi membincangkan kerja-kerja sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun ini.

Anwar berkata perbincangan dengan Thaksin turut menyentuh mengenai kerjasama dengan Thailand dan negara-negara Indochina termasuk dalam bidang mikrocip, semikonduktor dan blockchain yang merupakan antara bidang yang harus diterokai oleh Malaysia.

Mengenai FEM, Perdana Menteri berkata forum itu memberi ruang untuk mencari jalan mengangkat kekuatan ekonomi negara dan membincangkan bidang-bidang baharu serta turut mengambil contoh industri semikonduktor di Pulau Pinang.

“Walaupun industri semikonduktor di Pulau Pinang itu agak lama, tetapi kalau tidak sedia untuk meneroka bidang baharu, kita akan ketinggalan dan kita harus bina kekuatan yang menyeluruh,“ katanya.

Selain itu, Anwar menyeru semua pihak agar menjalinkan kerjasama dan fokus kepada kerja masing-masing serta tidak berbicara hal-hal remeh yang hanya akan melemahkan dan mengancam kekuatan negara.