KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo menegaskan keperluan mendesak untuk Malaysia memperkukuh ekosistem digital bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi kecerdasan buatan dan kekal bersaing dalam kemajuan teknologi global yang pesat.
Bercakap pada Forum Menteri: Kesan Kecerdasan Buatan terhadap Tenaga Kerja Masa Hadapan bersempena International Young Future Leaders Summit 2025, kedua-dua menteri menekankan keperluan kesiapsiagaan, penerimaan bertanggungjawab dan kerjasama seluruh negara dalam menerima AI.
Fahmi berkata AI perlu dilihat sebagai alat pelengkap untuk meningkatkan kemampuan manusia, bukan sebagai pengganti kepada manusia.
“Yang lebih penting daripada menggunakan teknologi ini adalah untuk memiliki kerangka pemikiran yang betul. Bukan lagi tentang to be or not to be, tetapi pertanyaannya sekarang ialah apakah persoalan yang perlu dilontarkan?” katanya.
Sebagai ahli panel, Fahmi berkata pelajar secara amnya lebih terbuka menerima AI berbanding pensyarah atau pentadbir, sambil menekankan kepentingan kepimpinan dalam membimbing penggunaan AI yang bertanggungjawab.
“Mereka yang berada dalam posisi kepimpinan lazimnya lebih konservatif. Tetapi, sebagai pemimpin, kita perlu menunjukkan kepada mereka cara terbaik menyesuaikan diri dan mengguna pakai teknologi baharu,“ katanya.
Fahmi memetik laporan McKinsey & Company’s Super Agency in the Workplace yang mendapati pekerja lebih bersedia berbanding pemimpin korporat dalam menerima pakai transformasi digital dan keterangkuman.
Beliau berkongsi bahawa mesin pengisihan Pos Malaysia dapat memproses 22,000 pucuk surat dalam masa seminit berbanding 1,500 pucuk surat sehari oleh pekerja, namun masih memerlukan tenaga kerja manusia untuk mentafsir tulisan tangan yang tidak jelas.
Fahmi berkata beberapa agensi kerajaan juga telah menggunakan AI dengan berkesan, termasuk Jabatan Audit Negara yang dapat meringkaskan laporan dalam masa beberapa hari dengan bantuan teknologi berbanding berbulan-bulan sebelum ini.
Bagaimanapun, Fahmi memberikan amaran bahawa AI turut menimbulkan risiko penyalahgunaan, terutamanya menerusi kaedah deepfake dan scam.
“Walaupun AI menawarkan peluang yang amat besar, teknologi itu juga membuka pintu kepada penyalahgunaan. Ramai yang menghubungi saya mengatakan bahawa wajah mereka digunakan dalam penipuan deepfake,“ katanya.
Sementara itu, Gobind menegaskan bahawa Malaysia perlu membina asas yang kukuh dari segi infrastruktur, data dan kepercayaan bagi menghadapi transformasi AI.
“Kita perlu memahami falsafah di sebalik AI. Pemahaman ini memberi kita perspektif untuk merangka strategi bagi mempersiapkan negara mengambil manfaat daripada teknologi ini,“ katanya.
Beliau berkata Akta Perkongsian Data yang berkuat kuasa pada 28 April lepas membolehkan kementerian dan agensi mendigitalkan data dengan selamat dan membangunkan penyelesaian berasaskan AI.
Malaysia menarik firma teknologi global utama seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google, Oracle dan NVIDIA untuk membina pusat data di negara ini, sekali gus mengukuhkan keupayaan digital negara.
Pelaburan itu penting untuk memastikan negara mempunyai kuasa pengkomputeran yang mencukupi untuk ekonomi yang berpacukan AI.
Gobind turut menekankan bahawa keyakinan dan kesiapsiagaan mesti berkembang seiring dengan inovasi untuk merealisaikan kesan menyeluruh teknologi itu.
Beliau mengingatkan bahawa visi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan Malaysia negara AI menjelang 2030 memerlukan tindakan segera di seluruh sektor, jika tidak negara lain akan maju manakala Malaysia berisiko ketinggalan. – Bernama