• 2025-08-04 01:18 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak akan mengorbankan kepentingan nasional demi mendapatkan layanan istimewa daripada Amerika Syarikat (AS).

Sebaliknya, rundingan antara kedua-dua negara mengekalkan keunikan dasar Malaysia, termasuk perlindungan industri strategik dan syarat bumiputera.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, AS memberikan kadar yang setara kepada Malaysia kerana pengiktirafan terhadap kepentingan negara sebagai rakan dagang utama.

“Malaysia membuktikan keupayaan menawarkan komitmen perdagangan dan pelaburan berkualiti tanpa perlu membuka semua sektor sepenuhnya,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menegaskan bahawa pencapaian kadar baharu ini membuktikan negara membangun seperti Malaysia mampu mendapatkan akses dagangan antarabangsa tanpa tunduk kepada tekanan liberalisasi mutlak.

“Model ini memberi contoh kepada negara serantau bahawa ‘red lines’ boleh dipertahankan jika negara jelas dengan nilai dan strategi,“ ujarnya.

Pada 1 Ogos 2025, kadar tarif baharu untuk Malaysia diumumkan sebanyak 19 peratus, iaitu penurunan enam peratus berbanding kadar sebelumnya.

Tengku Zafrul juga menyatakan bahawa Malaysia dan AS sedang dalam proses mencapai persetujuan Kenyataan Bersama yang merangkumi hasil rundingan.

“Kenyataan tersebut akan diterbitkan tidak lama lagi. Kedua-dua pihak juga akan terus berbincang mengenai perincian Perjanjian Perdagangan Timbal Balas bagi memastikan semua komitmen dilaksanakan,“ jelasnya.

AS merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dengan nilai eksport RM198.65 bilion pada 2024, serta antara sumber pelaburan asing utama negara dengan jumlah RM32.82 bilion. – Bernama