• 2025-06-25 10:34 PM

PUTRAJAYA: Malaysia menyasarkan untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya 10,000 syarikat pemula niaga (startup) menjelang akhir tahun ini menerusi platform Startup ASEAN yang baru dilancarkan.

Platform tersebut berfungsi sebagai gerbang digital yang menghubungkan dan memperkasakan syarikat pemula niaga, para pelabur dan bakat di seluruh Asia Tenggara.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata platform tersebut kini menghimpunkan kira-kira 5,000 syarikat pemula niaga dan menunjukkan kemajuan memberangsangkan sejak ia mula beroperasi sepenuhnya.

“Kami menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pemula niaga menjelang hujung tahun ini, dan setakat ini kita telah mencapai kira-kira separuh daripada jumlah itu.

“Ini menunjukkan perkembangan yang positif, dan kami berharap platform ini akan membantu pertumbuhan serantau secara menyeluruh. Manfaatnya bukan hanya untuk satu negara, tetapi untuk semua negara anggota ASEAN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran platform itu di sini hari ini.

Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN pada 2025 mengetuai inisiatif ini menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), dengan pelaksanaan oleh Cradle Fund Sdn Bhd. Platform ini dibangunkan melalui kerjasama bersama kesemua 10 negara anggota ASEAN.

Chang dalam ucapan pelancaran platform itu berkata platform Startup ASEAN mencerminkan komitmen Malaysia untuk memimpin dengan tujuan yang jelas dan platform berkenaan adalah hasil pertama di bawah Inisiatif Pemula Niaga ASEAN (ASEAN Startup Initiative).

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, Malaysia telah memikul tanggungjawab besar untuk membentuk ekosistem pemula niaga yang berorientasikan masa depan. Menerusi inisiatif ini, kami dengan bangga memperkenalkan ASEAN Technology Startup Ignite 2025,” katanya.

Asia Tenggara mempunyai lebih 680 juta penduduk, dengan lebih separuh berusia bawah 35 tahun. Rantau ini mencatatkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) gabungan melebihi US$3.9 trilion, manakala ekonomi digitalnya diunjurkan melebihi US$1 trilion menjelang 2030. (AS$1 = RM4.233)

Pelancaran hari ini menandakan permulaan fasa kedua pelan hala tuju serantau jangka panjang. Fasa pertama yang siap pada 2024 memberi tumpuan kepada pembangunan platform dan libat urus pihak berkepentingan.

Fasa ketiga, yang dijangka bermula pada 2026, bakal menyaksikan penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk pemula niaga peringkat awal sebagai langkah memperkukuh lagi ekosistem inovasi rantau ini.

Apabila ditanya mengenai jaminan MOSTI untuk memastikan keterangkuman syarikat pemula niaga dari negara ASEAN yang kurang membangun, Chang menjelaskan bahawa platform tersebut direka agar bersifat terbuka dan mudah diakses.

“Platform serantau ini adalah antara cara kita boleh bantu syarikat dari negara membangun. Asalkan ada capaian internet, mereka boleh menyertai platform ini. Syarikat mereka boleh dilihat oleh pelabur dan bakat dari seluruh rantau. Inilah cara kami bantu meningkatkan keterlihatan dan peluang kejayaan mereka,” katanya.

Menjejak Impak dan Memperkukuh Kerjasama Serantau

Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Group Norman Matthieu Vanhaecke berkata platform tersebut dilengkapi dengan petunjuk prestasi yang jelas, termasuk penglibatan pemula niaga, hasil pelaburan dan kerjasama serantau.

“Pada 2025, sasaran kami ialah menyenaraikan 10,000 syarikat pemula niaga, 2,000 pelabur dan 500 rakan strategik. Kami juga merancang untuk menganjurkan lima program serantau melalui platform ini. Usaha ini akan menyokong ekosistem bernilai kira-kira US$131.2 bilion,” katanya.

Vanhaecke berkata ia bukan sekadar pangkalan data tetapi maklumat serantau yang menyasarkan impak menyeluruh dan inklusif.

“Kami akan menjejaki jumlah pelaburan, kemunculan syarikat pemula niaga yang baharu dan kerjasama antara pengasas dari pelbagai negara. Dua program serantau telah pun dilancarkan bersama rakan dialog dari Korea dan China. Program ini terbuka kepada semua syarikat pemula niaga di ASEAN,” katanya.

Beliau berkata tiga lagi program serantau akan diperkenalkan tahun ini, dengan lebih banyak menyusul pada masa hadapan.

“Ini baru permulaan. Dengan penyertaan kukuh daripada negara-negara ASEAN, platform ini berpotensi menjadi pemangkin utama kepada inovasi, pertumbuhan dan kerjasama rentas sempadan,” kata Vanhaecke.