KUALA LUMPUR: Malaysia menyasar untuk memperluas capaian produk hiliran dan bernilai tambah berasaskan sawit, khususnya dalam segmen lemak khas, tokotrienol, minyak sawit merah, serta papan gentian berketumpatan sederhana (MDF) berasaskan biojisim sawit bagi kegunaan perumahan dan perabot.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan langkah itu bertujuan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

“Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju global dalam pensijilan komoditi lestari menerusi pelaksanaan skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2.0, satu penambahbaikan kepada piawaian asal di bawah skim pensijilan MSPO,” tambahnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Program rasmi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Ekspo 2025 Osaka baru-baru ini mengukuhkan lagi hasrat Malaysia untuk menjadikan pertanian mampan sebagai teras utama perdagangan masa hadapan dan diplomasi ekonomi negara, jelas MITI.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata MSPO 2.0 merupakan deklarasi tegas Malaysia kepada dunia bahawa negara benar-benar komited untuk mentransformasikan sektor komoditi selaras dengan piawaian kemampanan global.

“Kita sedang menerapkan prinsip kemampanan di setiap peringkat, daripada ladang pekebun kecil hinggalah ke pasaran antarabangsa, bagi memperkukuh integriti keseluruhan ekosistem kita. Malah, kita turut menyasarkan supaya model MSPO ini dapat diperluas ke seluruh sektor komoditi negara,” katanya.

Sejajar dengan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan komoditi hijau, sebanyak lima Memorandum Persefahaman (MoU) strategik telah dimeterai sempena Minggu KPK di Ekspo 2025.

MoU itu merangkumi sektor utama seperti biomassa berasaskan sawit, lada hitam lestari, inovasi kenaf serta eksport koko, mencerminkan usaha pelbagai sektor Malaysia dalam memacu pembangunan komoditi bernilai tinggi secara mampan.

Menurut MITI keyakinan terhadap pensijilan MSPO turut diperkukuh minggu ini menerusi pemeteraian kerjasama rasmi antara MSPO dan AEON Jepun.

Usaha itu merupakan langkah jelas ke arah memperluas produk yang telah mendapat sijil MSPO dalam saluran runcit pengguna, memandangkan produk berasaskan sawit berlabel MSPO kini telah mula menembusi pasaran antarabangsa, tambah MITI.

MITI memaklumkan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), iaitu agensi penyelidikan dan pelesenan di bawah KPK, turut memeterai perjanjian serta mengadakan perbincangan berkaitan peluang perniagaan dalam sektor agri-komoditi sawit sepanjang ekspo tersebut, bagi memperkasa pembangunan perdagangan dengan Jepun dan rantau Asia.

Sehingga kini, sebanyak 86 peratus kawasan tanaman sawit negara telah diperakui di bawah MSPO, dan usaha berterusan sedang digerakkan untuk mencapai sasaran 95 peratus pensijilan MSPO menjelang akhir 2025.

Seterusnya, bagi menyokong pelaksanaan yang lebih meluas, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta di bawah Belanjawan 2025 dan peruntukan itu merangkumi bantuan teknikal, sokongan audit dan pembangunan sistem kebolehkesanan khusus bagi pekebun kecil.

Penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka diterajui oleh MITI, dengan penglibatan lebih 21 kementerian dan 70 agensi di bawah satu naratif nasional yang bersepadu.

Sepanjang tempoh 26 minggu penganjuran, Pavilion Malaysia berperanan sebagai platform utama untuk forum perniagaan, pameran produk, sesi padanan perniagaan serta pemeteraian MoU, memperkukuh imej Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan masa hadapan.

Setakat ini, Malaysia telah mencapai 68 peratus daripada sasaran RM13 bilion dari segi potensi perdagangan dan pelaburan bagi acara dunia itu.