• 2025-07-22 09:30 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia menegaskan bahawa Blok ND6 dan ND7 di Laut Sulawesi yang dituntut Indonesia menerusi istilah ‘Ambalat’ adalah sebahagian daripada wilayah kedaulatan negara.

Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) menjelaskan pendirian ini berdasarkan undang-undang antarabangsa selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2002.

“Rujukan ‘Ambalat’ kepada sebahagian blok tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan. Rujukan yang betul ialah Laut Sulawesi selaras dengan pendirian Malaysia,“ menurut kenyataan Wisma Putra.

Jawapan itu diberikan sebagai respons kepada soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) mengenai sama ada kerajaan Sabah akan dimaklumkan sebelum sebarang persetujuan dengan Indonesia dibuat berkenaan pembangunan bersama blok tersebut.

Semasa lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Indonesia pada 27 Jun lalu, kedua-dua pemimpin mengeluarkan kenyataan bersama berhubung cadangan pembangunan di Laut Sulawesi.

“Cadangan ini masih di peringkat pertimbangan awal dan belum dimuktamadkan. Ia merupakan usaha awal mencari penyelesaian terbaik untuk kedua-dua negara,“ jelas Wisma Putra.

Kerajaan Persekutuan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan Sabah dalam rundingan sempadan maritim dengan Indonesia bagi memastikan kedaulatan dan kepentingan Malaysia terpelihara.

Perbincangan sempadan maritim dilaksanakan secara teliti berlandaskan prinsip undang-undang dan teknikal.

Kerajaan juga melakukan penilaian menyeluruh terhadap sebarang cadangan penyelesaian, termasuk kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan. – Bernama