Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Thailand bersetuju mengenai keperluan untuk menjalin hubungan lebih erat antara Ahli Parlimen bagi meningkatkan kerjasama antara kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dipersetujui semasa pertemuannya dengan Presiden Dewan Negara dan Speaker Dewan Perwakilan Thailand Wan Muhammad Noor Matha pagi tadi.

“Semasa pertemuan saya dengan Wan Muhamad pagi ini, kami membincangkan kerjasama antara Malaysia dan Thailand dalam pelbagai bidang seperti perdagangan, pelaburan dan pelancongan,“ kata Anwar dalam kemas kini di Facebooknya.

Perdana Menteri berkata beliau dan Wan Muhamad turut menyentuh usaha memperkukuh lagi kerjasama antara kedua-dua negara dalam sektor pendidikan dan pembangunan masyarakat Islam termasuk di selatan Thailand.