KANGAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 84.67 kilogram (kg) kanabis dianggarkan bernilai RM262,477 di pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat dekat Arau pada Isnin lepas.

Pengarah Kastam Perlis Ismail Hashim berkata berdasarkan maklumat, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis ke lokasi berkenaan pada 7.30 pagi dan menemukan dua bungkusan mengandungi 80 ketulan mampat disyaki dadah kanabis.

Beliau berkata dadah itu diletakkan di pesisir pantai dipercayai melalui jalan laut menggunakan sampan dan akan diambil pihak ketiga bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Pasukan telah menunggu di sekitar kawasan ini namun tiada sesiapa yang datang dan mengambil bungkusan terbabit. Oleh itu, tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Menurut Ismail, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas, ia dipercayai dapat diedarkan kepada lebih 420,000 penagih dadah.