PUTRAJAYA: Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam aspek mobiliti bakat, peningkatan kemahiran tenaga kerja dan kesiapsiagaan kecerdasan buatan (AI) sejajar dengan perubahan pesat dalam landskap teknologi dan pasaran buruh global.
Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memaklumkan perkara itu dicapai dalam pertemuan rasmi antara Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong dan Menteri Sumber Manusia dan Emiratisasi UAE, Dr Abdulrahman Abdulmannan Al Awar di Dubai.
“Pertemuan itu menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh strategi dan kerjasama berorientasikan masa depan yang memberi fokus kepada dasar tenaga kerja digital, migrasi buruh dan transformasi pendidikan,“ menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini hari ini.
KESUMA memaklumkan UAE yang kini menduduki tangga ketiga dunia dalam kesiapsiagaan bakat AI, berkongsi pengalaman negara itu dalam mengintegrasi teknologi AI dalam sektor kewangan, bioteknologi dan perkhidmatan awam.
Menurut kenyataan itu Menteri UAE memberi penekanan terhadap kepentingan mempunyai dasar pendidikan serta tenaga kerja yang tangkas dalam mendepani impak AI kepada pekerja sektor buruh dan profesional.
KESUMA memaklumkan Malaysia mengiktiraf kedudukan UAE dalam bidang berkenaan dan menjelaskan bahawa negara kini giat melaksanakan persediaan tenaga kerja bagi menghadapi era AI.
Kementerian itu berkata Kajian Utama Mengenai Impak AI, Digitalisasi dan Ekonomi Hijau terhadap Tenaga Kerja yang dilaksanakan oleh TalentCorp pada 2024 mengenal pasti 10 sektor utama berisiko tinggi terhadap penggantian atau transformasi pekerjaan.
“Kajian ini kini menjadi asas kepada strategi nasional untuk peningkatan dan penyesuaian semula kemahiran, bagi memastikan para pekerja bersedia menghadapi lanskap pekerjaan yang sedang berubah dengan pantas,“ menurut kenyataan itu.
Sebagai tanda kerjasama antarabangsa, KESUMA berkata UAE menjemput Sim untuk menghadiri Abu Dhabi Dialogue pada Februari 2026 yang memfokuskan kepada migrasi beretika, hak pekerja dan penyelarasan dasar rentas negara.
Malaysia dan UAE telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 1983 berasaskan nilai bersama dan kerjasama ekonomi yang kukuh.
UAE merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah dan menjadi tuan rumah kepada komuniti ekspatriat Malaysia yang besar, dengan 13 peratus daripadanya memegang Golden Visa UAE.