LONDON: Satu jawatankuasa bersama antara persatuan perniagaan francais Malaysia dan United Kingdom (UK) akan diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem francais negara di UK, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata usaha tersebut dilaksanakan sebagai platform sokongan untuk membantu jenama francais Malaysia menembusi pasaran UK menjelang tahun depan.

“Banyak peluang terbuka luas untuk syarikat Malaysia mengembangkan perniagaan francais di UK terutama berkaitan produk halal termasuk makanan, perubatan tradisional dan kosmetik.

“Saya akan mempengerusikan jawatankuasa Kabinet mengenai francais ini, saya akan memperoleh laporan sejauh mana ia boleh dilakukan dengan segera dan pencapaiannya akan saya lihat setiap enam bulan apabila saya mempengerusikan jawatankuasa Kabinet ini dua kali setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Dialog Perniagaan Francais: Malaysia-UK di sini, semalam sempena lawatan kerja empat hari ke UK.

Ahmad Zahid berkata Malaysia juga komited untuk membantu memperkukuh ekosistem francais melalui dasar pembiayaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), geran digital Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan matlamat mencapai RM100 bilion jualan menjelang 2030.

Beliau berkata kerjasama lebih erat akan dilaksanakan bagi menggalakkan francais UK meneroka pasaran ASEAN melalui Malaysia dan pada masa sama mengembangkan jenama Malaysia ke pasaran UK melalui jawatankuasa berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook berkata cadangan telah dikemukakan untuk meletakkan sektor francais sebagai satu daripada agenda dalam Kumpulan Kerja PKS Malaysia-UK di bawah Jawatankuasa Bersama Perdagangan dan Ekonomi (JETCO).

Beliau berkata melalui usaha itu, satu platform akan diwujudkan menjelang 2026 bagi membantu jenama Malaysia menembusi pasaran UK secara lebih sistematik dan berkesan.

“Saya telah nyatakan potensi besar untuk mewujudkan kerjasama dua hala yang lebih strategik. Malaysia bersedia menjadi pintu masuk francais UK ke pasaran ASEAN, yang kini mencecah lebih 680 juta pengguna.

“Dalam masa sama, kita juga komited untuk memperluas kehadiran jenama Malaysia ke dalam pasaran francais UK yang bernilai lebih £19 bilion setahun,” katanya.

Ahmad Zahid berkata perniagaan francais merupakan pemacu pekerjaan, pencetus inovasi, penghubung rentas sempadan, serta satu daripada alat berkuasa untuk mobiliti sosial dan pembangunan inklusif.

Beliau berkata Malaysia setakat ini mempunyai lebih 700 jenama francais berdaftar dan lebih 70 daripadanya telah berjaya menembusi pasaran di lebih 80 negara.

“Ini adalah bukti jelas bahawa jenama Malaysia mampu bersaing di pentas global,” katanya.