PUTRAJAYA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah melaksanakan 108 operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang berjaya menyelamatkan 203 daripada 251 mangsa bagi tempoh hingga Mei lepas.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata bagi tempoh sama, pihaknya telah merekodkan 36 nyawa terkorban dan 12 masih belum ditemukan.
Berkongsi statistik sepanjang 2024, Mohd Rosli berkata Maritim Malaysia merekodkan sebanyak 226 kes menerusi operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) membabitkan 1,348 mangsa.
“Daripada jumlah itu, 1,259 mangsa berjaya diselamatkan manakala 64 maut dan 25 masih hilang di laut,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan bersempena dengan Hari Kesedaran Keselamatan Maritim (HKKM) yang disambut bermula pada 2021.
Bagi memperkasakan kecekapan operasi, Mohd Rosli berkata Maritim Malaysia telah membangunkan prosedur operasi standard (SOP) Carilamat tersendiri bagi menjamin kecekapan, kepantasan dan keselamatan setiap gerakan operasi menyelamat.
Beliau berkata tanggungjawab pasukan itu untuk mengetuai operasi SAR di perairan negara termasuk di laut lepas termaktub dalam Seksyen 6(a) dan 6(b) Akta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia 2004 (Akta 633), yang memberikan mandat jelas kepada Maritim Malaysia untuk mengetuai operasi SAR di negara ini.
“Mandat ini diperkuat dengan Arahan NADMA No. 1 yang menamakan Maritim Malaysia sebagai agensi utama bencana maritim, berlandaskan National SAR Manual (Namsar) sebagai rujukan utama.
Mohd Rosli berkata tiada istilah “hari cuti” bagi pasukan Maritim Malaysia kerana sebarang isyarat kecemasan memerlukan tindakan segera tanpa mengira masa atau keadaan cuaca.
“Aset seperti bot peronda dan helikopter juga sentiasa berada dalam keadaan siap sedia 24 jam untuk diaturgerakkan,” katanya.
Selain bertanggungjawab dalam operasi SAR, beliau berkata Maritim Malaysia turut melaksanakan program Pencegahan SAR secara berkala di semua negeri dan zon maritim bagi meningkatkan kesedaran keselamatan maritim.
“Taklimat komuniti, ceramah, pameran, pengedaran risalah, dialog bersama nelayan adalah sebahagian daripada pendekatan mendekati masyarakat maritim,” katanya.