PHNOM PENH: Selepas lebih sebulan melarikan diri daripada cengkaman pihak tidak berperikemanusiaan, tujuh anak muda Malaysia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia masih terperangkap di Pusat Imigresen Kemboja, menunggu untuk dibebaskan.

Kesemua tujuh mangsa, lima daripadanya berasal dari Sarawak pada mulanya tiba untuk bekerja di kasino tetapi ditipu dan dipaksa terlibat dalam aktiviti jenayah siber.

Mereka kini ditahan di Pusat Imigresen Sihanoukville dan menanti untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Kumpulan itu termasuk lima wanita, terpaksa bekerja sebagai penipu atau “scammer” dalam sindiket penipuan atas talian di negara itu.

“Kami melarikan diri daripada majikan kami 41 hari yang lalu.

“Kami berjaya mendapatkan telefon bimbit untuk menghubungi polis tempatan dan kami diselamatkan oleh jabatan imigresen di Sihanoukville,” kata seorang mangsa yang ditemui Bernama di pusat tahanan itu.

Mangsa memaklumkan bahawa dua rakan mereka kini dipindahkan ke fasiliti tahanan berasingan tetapi dia tidak dapat memberikan maklumat lanjut.

“Kami sudah menghubungi kedutaan (di Phnom Penh) juga,” katanya dengan suara yang kedengaran sayu.

Ejen-ejen di Malaysia menawarkan peluang pekerjaan lumayan untuk menarik remaja-remaja bekerja di Kemboja, menjanjikan gaji dalam dolar AS, makanan percuma, tempat tinggal serta tiket penerbangan yang ditanggung sepenuhnya.

Namun, setibanya di ‘tanah yang dijanjikan’, skop pekerjaan mereka berubah dan mereka akhirnya dipaksa bekerja di pusat panggilan penipuan di Sihanoukville sejak tiba pada Mei tahun ini.

Wilayah pesisir pantai yang sibuk itu kini terkenal sebagai hab aktiviti penipuan atas talian yang dikendalikan oleh penjenayah transnasional meskipun pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.

“Mereka tawarkan kami gaji RM4,000 sebulan serta makanan, tempat tinggal, dan tiket penerbangan.

“Kami dijanjikan pekerjaan. Tetapi apabila kami tiba, kami dipaksa bekerja dalam aktiviti penipuan.

“Kami tidak dapat menghubungi ejen kami kerana mereka telah memadam akaun Telegram mereka, dan kini kami terperangkap di sini. Mereka (pihak berkuasa) memberitahu kami bahawa kami melanggar undang-undang Kemboja, tetapi kami tidak melakukan jenayah, kami ditipu dan dibawa ke Kemboja,” katanya.

Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak Milton Foo memberitahu Bernama pada pagi Ahad bahawa beliau menghubungi kedutaan Malaysia di Phnom Penh dan dokumen masih menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa Kemboja untuk membawa mereka pulang ke Malaysia.

“Kami menghantar surat rayuan kepada kedutaan dan mereka sedang menguruskan dokumen untuk pembebasan mereka.

“Beberapa individu dalam kumpulan ini adalah Muslim dan sukar mendapatkan makanan (halal),” kata Foo.

Penjenayah kini menggunakan Kemboja sebagai hab untuk pelbagai aktiviti jenayah siber termasuk penipuan atas talian, pemberian pinjaman wang secara haram, dan permainan internet.

Bilangan anak muda Malaysia menjadi mangsa tawaran pekerjaan palsu semakin meningkat sejak pasca-COVID dan kedutaan Malaysia membantu dalam membawa pulang puluhan daripada mereka.