KOTA BHARU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup 50 kilogram (kg) ayam sejuk beku dari Thailand yang dianggarkan bernilai RM720 semalam.

Ketua Pintu Masuk MAQIS Rantau Panjang Mohd Suhaimi Ibrahim berkata bekalan ayam sejuk beku itu diletakkan di dalam bonet sebuah van di pintu masuk Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Rantau Panjang bernombor pendaftaran Thailand yang dipandu oleh warganegara Thailand berusia lingkungan 40-an.

Beliau berkata pemeriksaan oleh Pegawai Penguasa MAQIS mendapati 24 paket keratan ayam itu cuba dibawa masuk tanpa Permit Import MAQIS, Sijil Kesihatan Veterinar dan Sijil Halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, menggunakan kenderaan persendirian di laluan import penumpang kereta/kenderaan.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa permit import MAQIS menjadi kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Suhaimi berkata MAQIS akan terus melaksanakan penguatkuasaan terhadap barangan yang dibawa masuk ke negara ini bagi mengelakkan isu-isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak.