KUALA LUMPUR: Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC) mengumumkan pelantikan Arshad Mohamed Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 1 Jun, 2024.
Dalam satu kenyataan hari ini, MARC berkata Arshad menggantikan Datuk Jamaludin Nasir, yang akan memegang jawatan sebagai penasihat sehingga akhir penggalnya pada November tahun ini.
Sehubungan itu, Pengerusi Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani mengucapkan tahniah kepada Arshad di atas pelantikan baharunya dan menantikan kepimpinan beliau untuk membawa kumpulan MARC ke tahap yang lebih tinggi.
“Pada masa yang sama, kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Jamaludin atas kepimpinannya yang kukuh dan sumbangan yang tidak ternilai terhadap pertumbuhan dan pengembangan syarikat,” kata Nik Norzrul Thani.
Sementara itu, MARC berkata sebelum pelantikan ini, Arshad ialah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank).
“Beliau juga antara lain pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan dan pengurusan di Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Maybank Islamic Bhd, Perbadanan Pengurusan Kecairan Islam Antarabangsa (IILM), Al Hilal Bank Abu Dhabi, Aayan Capital Arab Saudi, dan HSBC Amanah di Emiriah Arab Bersatu,” katanya.