• 2025-07-26 10:42 PM

ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terus memperkukuh operasi membanteras aktiviti penyeludupan dadah di perairan negara. Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, menegaskan komitmen itu selepas kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2025 di Jitra.

“Maritim Malaysia kini dalam kesiapsiagaan tinggi untuk memperkukuh rondaan dan penguatkuasaan. Kami tidak akan berkompromi dengan cubaan menyeludup dadah melalui laut,“ katanya. Beliau mengakui perairan negara menjadi sasaran sindiket antarabangsa yang menggunakan laluan laut sebagai ‘jalan selamat’.

Menurutnya, 80 peratus bekalan dadah masuk ke Malaysia melalui laut. “Dari 2020 hingga Jun 2025, kami berjaya menahan 117 kes dengan nilai rampasan hampir RM200 juta. Setiap rampasan ini menyelamatkan ribuan nyawa,“ ujarnya.

Bagi meningkatkan keupayaan operasi, Maritim Malaysia bakal menerima aset baharu termasuk kapal EX-USCG Cutter Steadfast pada November 2025 dan helikopter AW189 pada 2026. Sebuah kapal Multi Purpose Mission Ship (MPMS) dari Turkiye pula dijangka beroperasi pada 2027.

“Pertambahan aset ini bukan sahaja meningkatkan keupayaan fizikal, malah memperkukuh pemantauan di laut,“ jelas Mohd Rosli. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan permohonan aset baharu. - Bernama