PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Bhd (MAB) berhubung insiden pesawat MH66 berpatah balik awal pagi tadi.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau telah berhubung dengan MAB mengenai kejadian yang dipercayai berlaku akibat masalah teknikal dan meminta mereka segera memberikan penjelasan.

“Saya telah berhubung dengan mereka (MAB). Jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal tersebut.

“Saya telah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS 2024) di sini hari ini.

Media tempatan hari ini melaporkan sebuah lagi pesawat MAB dipercayai mengalami masalah teknikal sehingga terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1).

MAB hari ini mengesahkan penerbangan MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam, berpatah balik sebagai tindakan berjaga-jaga susulan masalah teknikal dengan sistem hidraulik.

Pesawat itu selamat mendarat di KLIA Terminal 1 pada 1.30 pagi tadi.

Penerbangan ke Incheon dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D dan dijadualkan berlepas 8 malam ini.