KUALA LUMPUR: Banyak lagi sasaran perlu dicapai oleh dua beregu negara lelaki walaupun mereka terpaksa melupakan dahulu Sukan Olimpik Paris 2024, kata jurulatih beregu lelaki Tan Bin Shen.

Beliau berkata kedua-dua beregu negara iaitu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun buat masa ini masih belum merangkul gelaran di kejohanan Super 500 dan Super 750 meskipun sudah bergelar atlet senior.

“Peluang (Olimpik) Sze Fei-Nur Izzuddin dan Wei Chong-Kai Wun sudah tidak ada tapi nanti ada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Ningbo, China dari Selasa depan (9 April). Saya rasa walaupun tidak layak ke Olimpik masih banyak sasaran yang mereka perlu capai daripada asyik kalah seawal pusingan pertama,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurut Bin Shen, kedua-dua pasangan negara itu mempunyai keazaman yang tinggi untuk memenangi sesuatu perlawanan dan perlu mengekalkan mentaliti menang itu walaupun mengalami kekalahan.

“Saya nampak keinginan mereka mahu menang sebab sudah cuba sedaya upaya namun perlu terus baiki cara permainan,” katanya.

Wei Chong-Kai Wun pernah muncul juara sebanyak tiga kali di Kejohanan Antarabangsa India Syed Modi 2022 (Super 300) dan Terbuka Taiwan edisi 2022 dan 2023 (Super 300) manakala Sze Fei-Nur Izzuddin memenangi Terbuka Amerika Syarikat 2023 (Super 300), Masters Kaohsiung 2023 (Super 100) dan Masters Abu Dhabi 2023 (Super 100).

Pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 Aaron Chia-Soh Wooi Yik ketika ini menjadi satu-satunya beregu lelaki Malaysia mengesahkan tiket ke Paris secara tidak rasmi dengan berada di kedudukan kelima daripada kelompok lapan terbaik dunia dalam ranking kelayakan yang akan berakhir 28 April ini.

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image