KLUANG: Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di sebuah rumah di Taman Sam Hoe di sini pada 29 Julai lepas kerana disyaki mengedar dadah dengan menggunakan taktik memasukkan dadah dalam peket minuman bagi mengaburi pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata dalam serbuan di premis berkenaan, polis menemui 131 peket plastik minuman berperisa disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 880.70 gram (g) sebungkus.

Beliau berkata turut dirampas tiga botol plastik disyaki mengandungi serbuk ekstasi seberat 1,238.50g, tiga peket plastik lut sinar mengandungi dadah disyaki ketamin seberat 4.50g dan empat foil aluminium merah ‘silver’ mengandungi dadah disyaki pil eramin 5 dengan seberat 11.20g.

“Polis juga merampas 1 peket plastik lut sinar mengandungi dadah jenis pil ekstasi seberat 61.20g serta sebuah kereta jenis Proton Saga, seutas rantai emas berserta loket dan wang tunai berjumlah RM2,300.

“Keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dianggarkan berjumlah RM387,897.64,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Bahrin berkata melalui semakan polis suspek tersebut mempunyai enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan jenayah, selain hasil saringan ujian air kencing positif dadah jenis ketamin.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan suspek direman tujuh hari hingga semalam sebelum disambung hingga Khamis ini.