KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar meminta semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem dalam melakukan kempen solidariti bersama Palestin.

Mohd Na’im berkata apa jua tindakan yang diambil perlulah dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak, justeru beliau menyeru agar semua pihak bersolidariti dengan rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan tersendiri termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan mereka.

“Dalam isu Palestin, saya percaya semua pihak memahami bahawa kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tidak boleh diterima sama sekali. Tindakan yang dilakukan pihak Zionis Israel amat biadap, melampau serta di luar batas kemanusiaan.

“Apa-apa tindakan yang boleh mengundang keresahan awam perlu dielakkan sama sekali. Apatah lagi ia melibatkan fitnah, mencaci, maki hamun, ugutan dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini netizen melancarkan kempen memboikot artis Malaysia yang terbabit mempromosikan jenama dan barangan dari negara Israel.

Kempen itu merupakan salah satu cara menunjukkan sokongan terhadap negara dan rakyat Palestin.