• 2025-08-25 03:18 PM

KOTA BHARU: Mayat seorang lelaki dengan kesan luka hiris pada leher ditemukan terapung di tebing Sungai Kelantan berhampiran Jambatan Sultan Yahya Petra di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Rosdi Daud berkata maklumat mengenai penemuan mayat itu diterima daripada MERS 999 pada 6.30 petang, sebelum pihaknya bersama unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati mangsa adalah seorang lelaki tanpa sebarang identiti, berpakaian kemeja-T berkolar ungu dan seluar pendek khakis coklat dengan bertali pinggang.

“Keadaan mayat ketika ditemui sudah membengkak dan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II 12.15 tengah malam tadi mengesahkan punca kematian adalah akibat kesan luka hiris pada leher.

“Setakat ini identiti lelaki masih belum dikenal pasti dan polis sedang menunggu laporan cap jari serta DNA bagi tujuan pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Rosdi berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan ASP Norismalina Ahmad di talian 012-7941447 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Beliau turut menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan sehingga siasatan selesai. – Bernama