KANGAR: Mayat lelaki tanpa pengenalan diri ditemukan dalam keadaan terapung di Sungai Tambun Tulang di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata mayat itu ditemukan tanpa baju dan hanya berseluar panjang berwarna kuning oleh anggota dari Balai Polis serta Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Empat pada kira-kira 3 petang.

“Mangsa dipercayai berumur dalam lingkungan 30 tahun dan identitinya masih belum dikenal pasti berikutan tiada pengenalan diri pada tubuh serta pakaian,“ menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata siasatan di lokasi kejadian tidak menemukan sebarang kenderaan.

“... penduduk setempat tidak mengenali mangsa dan mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar Kedah untuk bedah siasat,“ katanya.

Kes itu diklasifikasi sebagai kematian mengejut. - Bernama