IPOH: Mayat pertama seorang daripada tiga remaja lelaki yang dikhuatiri lemas ketika memancing dan mandi di Sungai Sempit, Segari dekat Pantai Remis petang semalam, ditemukan pada kedudukan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, pagi ini.

Mayat Chew Darumaraj, 14, ditemukan pada 8 pagi tadi oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pencarian dua lagi mangsa iaitu G. Sarath, 16 dan T. Eishwarpillai, 16, masih diteruskan dengan pertambahan kekuatan anggota SAR dari Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dan khidmat anjing pengesan (K9).

“Misi pencarian dilaksanakan dengan kaedah ‘Water Surface Searching’ melibatkan lima bot JBPM dengan 42 penyelamat dan turut melibatkan agensi PDRM, Polis Marin dan orang awam,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sayani berkata skop pencarian SAR turut menumpukan kepada lokasi muara sungai berdekatan lokasi kejadian mangsa dipercayai tenggelam.

“Kita telah tempatkan empat bot di kedua-dua arah sungai kerana sungai ini berhampiran muara dan mengalami air pasang dan air surut menyebabkan aliran air berlaku di kedua-dua arah.

“Sebuah lagi bot kita tempatkan berhampiran hujung muara sungai bagi memastikan mangsa tidak hanyut terlalu jauh dan memasuki laut,“ katanya.

Media melaporkan tiga remaja lelaki yang sedang memancing dan mandi di Sungai Sempit, Segari dekat Pantai Remis, dikhuatiri lemas dalam kejadian kira-kira 3 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata cubaan menyelamatkan seorang rakan yang dihanyutkan arus ketika mandi dipercayai menjadi punca ketiga-tiga remaja tersebut hilang di sungai. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image