• 2025-10-21 09:23 AM

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengucapkan tahniah kepada atlet para negara Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin (gambar) atas kejayaan meraih pingat emas pertama dunia buat Malaysia di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Rio de Janeiro, Brazil.

Hannah berkata atlet berusia 28 tahun itu bukan sahaja juara dunia dalam acara pecut 200 meter kategori MC1 tetapi turut menjadi atlet para pertama negara membawa pulang jersi pelangi.

Beliau menyatakan jersi pelangi adalah simbol kejuaraan dunia yang paling berprestij dalam sukan berbasikal.

“Malaysia bangga dengan anda dan seluruh pasukan Berbasikal Trek Para Malaysia,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Mohamad Yusof menjadi atlet terpantas melintasi garisan penamat dengan menewaskan pelumba Sepanyol Ricardo Ten Argiles dan atlet neutral Ivan Ermakov.

Ini merupakan pingat kedua diraih anak jati Kuala Kangsar, Perak itu selepas meraih pingat perak acara 1 kilometer kategori MC1. – Bernama