• 2025-07-02 10:04 AM

SEREMBAN: Tiga mayat ahli keluarga ditemui dalam keadaan mereput di sebuah rumah di Taman Bukit Kristal dekat sini pada petang semalam. Polis menerima laporan orang awam mengenai bau busuk yang datang dari rumah tersebut sebelum membuat pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din berkata, pasukan polis dan bomba tiba di lokasi dan memotong kunci pagar rumah sebelum menemui tiga mayat di dua bilik tidur. “Ketiga-tiga mangsa dikenal pasti sebagai seorang lelaki berusia 61 tahun, isterinya 59 tahun, dan anak lelaki mereka berusia 30 tahun,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Pemeriksaan awal mendapati kesan torehan pada lengan kanan anak lelaki tersebut, manakala mayat ibu bapanya tidak menunjukkan tanda-tanda kekerasan. “Kami juga menemui empat pisau dengan kesan darah serta beberapa jenis ubat di atas meja ruang tamu,“ tambah Mohamad Hatta.

Mayat ketiga-tiga mangsa telah dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian. Kes ini buat sementara waktu diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan lengkap forensik.