KUALA LUMPUR: Mayat seorang wanita tanpa identiti ditemui dalam keadaan tertiarap di atas batu bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat mengesahkan pihaknya menerima laporan orang awam pada jam 11.58 pagi sebelum anggota dihantar ke lokasi.
“Pemeriksaan awal mendapati mayat berpakaian serba hitam dan tiada dokumen pengenalan diri atau barangan peribadi ditemukan bersama mangsa,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen Selangor yang tiba di lokasi mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
“Berdasarkan keadaan, mangsa dipercayai berada di dalam sungai lebih kurang 24 jam serta mulai kembung,“ jelas Wan Azlan.
Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat esok bagi menentukan punca kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor K. Vigneswaran di talian 014-922 9233 atau balai polis terdekat. – Bernama