JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan penstrukturan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor bagi 2024-2027, dengan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat Aznan Tamin sebagai muka baharu barisan pentadbiran negeri itu.
Onn Hafiz berkata Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan dan penstrukturan semula itu serta berangkat ke Istiadat Pelantikan hari ini.
Beliau berkata Aznan dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor yang baharu menggantikan ADUN Johor Lama Norlizah Noh.
“Saya percaya dan yakin pelantikan dan penstrukturan semula portfolio barisan Exco ini mampu memacu negeri Johor ke arah yang lebih baik dan semuanya berupaya menggalas tugas dan tanggungjawab diberikan dengan penuh amanah, dedikasi dan integriti.
“Saya sedar dan insaf, sepanjang tempoh hampir dua tahun perkhidmatan ini, masih banyak yang perlu dilakukan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Onn Hafiz yang sebelum ini Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan dan Pembangunan Ekonomi Johor, menambah Pelancongan dalam portfolio beliau.
Berikut merupakan senarai Exco dan portfolio masing-masing:
Datuk Onn Hafiz Ghazi (ADUN Machap) - Pengerusi Jawatankuasa Hasil Bumi, Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Pembangunan Ekonomi dan Pelancongan Johor
Datuk Zahari Sarip (ADUN Buloh Kasap) - Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor
Datuk Mohd Jafni Md Shukor (ADUN Bukit Permai) - Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor
K. Raven Kumar (ADUN Tenggaroh) - Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor
Khairin-Nisa Ismail @ Md On (ADUN Serom) - Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor
Mohd Hairi Mad Shah (ADUN Larkin) - Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor
Mohd Fared Mohd Khalid (ADUN Semerah) - Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor
Ling Tian Soon (ADUN Yong Peng) - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor
Lee Ting Han (ADUN Paloh) - Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor
Mohamad Fazli Mohamad Salleh (ADUN Bukit Pasir) - Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor
Aznan Tamin (ADUN Tanjung Surat) - Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor. - Bernama