IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sentiasa melakukan pemantauan dan penyelenggaraan ke atas pokok-pokok teduhan di sekitar bandar raya ini termasuk di kawasan tepi laluan utama jalan raya, kata Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin.

“Kita sememangnya membuat pemantauan secara berkala ke atas pokok-pokok di bawah kawasan pentadbiran MBI khususnya pokok besar yang berusia untuk memastikan kestabilan pokok berkenaan.

“Kaedah pemangkasan dahan digunakan bagi memudahkan laluan angin selain memastikan pangkal pokok kekal kuat dan tidak tumbang jika berlaku angin kencang,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 7 Mei lepas, kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.

Semalam berlaku satu lagi kejadian pokok tumbang menghempap kenderaan dilaporkan berlaku di Jalan Pinang, Kuala Lumpur namun kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Rumaizi memaklumkan, sepanjang tahun lepas sejumlah 9,946 pokok telah diselenggara dan daripada jumlah itu penyelenggaraan 6,452 pokok dilakukan oleh MBI manakala selebihnya oleh pihak kontraktor.

“Kerja selenggaraan ini merangkumi tebangan pokok yang telah mati, rosak, condong dan berpenyakit melibatkan 2,066 pokok manakala selenggaraan dahan pokok membabitkan lebih 7,880 pokok.

“MBI turut melakukan rekod inventori pokok dengan kerjasama Jabatan Landskap Negara dan pihak arboris bertauliah bagi analisis risiko terhadap pokok yang direkodkan,“ katanya.

Beliau berkata lebih 220 pokok teduhan bersaiz besar direkodkan di Taman Dr Seenivasagam dan MBI akan membuat analisis risiko termasuk menilai potensi bahaya yang mungkin ditimbulkan sekiranya pokok berkenaan tumbang.

“MBI juga akan melaksanakan penggantian pokok spesies Khaya Senegalensis terutamanya yang terletak di dalam kawasan perumahan, premis perniagaan dan jalan-jalan utama dalam selian MBI.

“Penggantian ini terpaksa dibuat kerana 90 peratus daripada kes pokok tumbang yang direkodkan melibatkan spesis pokok ini kerana tidak mempunyai akar tunjang, terlalu besar dan mudah reput,“ katanya.