• 2025-06-23 05:44 PM

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan komitmen bersama untuk membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menerusi penguatkuasaan berterusan dan pendidikan kesedaran masyarakat.

MCMC dan PDRM dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikenal pasti setakat 15 Jun 2025 dan 94 peratus daripadanya berjaya diturunkan hasil kerjasama dengan penyedia platform digital dan aduan awam.

“Menerusi operasi khas seperti ‘Op Pedo’ pada Disember 2024, seramai 13 individu ditahan dan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) dirampas dari beberapa negeri,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, penyebaran, penyimpanan atau pengkomersialan kandungan eksploitasi seksual kanak-kanak merupakan kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya.

Dalam masa sama, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 memperuntukkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menghasilkan, menyebar, membeli, menjual, berkongsi atau memiliki bahan berkaitan.

Sebagai langkah pencegahan, MCMC turut mempergiat Kempen Internet Selamat (KIS) yang menyasarkan pelajar, ibu bapa dan komuniti, termasuk penekanan terhadap larangan penggunaan akaun media sosial oleh kanak-kanak di bawah umur 13 tahun.

MCMC dan PDRM menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan pengguna internet untuk bekerjasama dalam membanteras jenayah tersebut.

Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan melalui e-mel aduanskmm@mcmc.gov.my, portal https://aduan.mcmc.gov.my atau balai polis berhampiran.