MELAKA: Kerajaan Melaka bercadang menghidupkan semula seni tari ronggeng atau joget lambak sebagai daya tarikan baharu pelancong ke negeri itu. Usaha ini juga bertujuan memperkenalkan seni tari tradisional tersebut kepada generasi muda.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata langkah ini akan dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan ia tidak melanggar hukum syarak. “Cadangan untuk menghidupkan semula ronggeng atau joget lambak ini menarik kerana ia bermula di Melaka tetapi semakin dilupakan. Kita akan menghidupkannya secara impromptu selagi tidak bercanggah dengan syariat,“ katanya selepas merasmikan Penutup Bicara Seni Budaya sempena Program Rentak Bertandak Antarabangsa Melaka.
Ab Rauf turut menerima Resolusi Bicara Seni Budaya yang disampaikan oleh Pengarah Eksekutif Nusantara Performing Arts Research Center, Prof Dr Mohd Anis Md Nor. Beliau menegaskan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta pihak lain akan diperkukuh bagi memastikan kejayaan usaha ini.
“Ronggeng mempunyai keistimewaan tersendiri dan boleh dijadikan aset pelancongan seperti Dondang Sayang. Melalui tarian ini, elemen pantun juga dapat diselitkan bagi memartabatkan budaya Melayu,“ jelasnya.
Kerajaan negeri akan memberi perhatian serius terhadap resolusi yang dirumuskan dalam program tersebut bagi memperkasa seni dan budaya di Melaka.