MELAKA: Melaka merekodkan sebanyak 934 kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian kira-kira RM30.85 juta, kata Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.
Beliau berkata statistik dari 1 Jan hingga Isnin lepas itu juga menunjukkan sebanyak 531 tangkapan dan 312 pertuduhan dibuat di mahkamah berkaitan sindiket penipuan dalam talian.
“Jumlah kerugian paling besar direkodkan bagi seorang mangsa setakat ini ialah RM2.9 juta dan lebih ramai golongan terpelajar atau profesional seperti doktor, pengurus, pegawai bank serta usahawan korporat menjadi mangsa,” katanya.
Mohd Noor Helmy berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan ‘Content Creator’ Kempen Kesedaran Jenayah Penipuan anjuran Jabatan Penerangan Melaka dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Semua kes itu direkodkan Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan polis, dengan penipuan tertinggi ialah pelaburan tidak wujud menerusi aplikasi Telegram dan Facebook selain tawaran kerja serta perkhidmatan cuci rumah tidak wujud.
Beliau berkata kebanyakan mangsa mempunyai pengetahuan berkaitan penipuan dalam talian tetapi sikap tamak dan gopoh menyebabkan mereka mudah terperdaya dengan tawaran sindiket terlibat.
Mengulas mengenai bengkel itu, Mohd Noor Helmy berkata kira-kira 50 peserta termasuk Ketua Komuniti MADANI di Melaka menyertai bengkel yang bertujuan memberi penerangan berkaitan perkembangan semasa isu penipuan dalam talian.
Peserta juga diajar menghasilkan kandungan digital untuk memberi kesedaran berkaitan isu tersebut sekali gus menjadi ejen penyebaran maklumat bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat.