MELAKA: Buat julung kalinya, Melaka dipilih sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2025 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini.

Majlis perasmian sambutan yang bertemakan “TVET Pilihan Utama Kerjaya” dijadual disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada Khamis ini. Turut berlangsung pada hari yang sama ialah Majlis Pelancaran Inisiatif Program TVET Berimpak Tinggi: Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber.

Sepanjang sambutan, pelbagai acara menarik akan dianjurkan termasuk seminar, bengkel serta pertandingan berasaskan inovasi, teknologi dan teknikal.

Sebanyak 12 kementerian dijangka terlibat dalam penganjuran sambutan tersebut, antaranya Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

Hari TVET Negara 2025 turut menampilkan penglibatan empat tunjang utama dalam bidang tersebut iaitu industri, institusi, badan bukan kerajaan serta agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

Bersempena sambutan Hari TVET Negara 2025 itu juga, Malaysia akan menjadi tuan rumah Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 yang bertemakan “TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau” pada Rabu dan Khamis ini.

Dialog itu akan menghimpunkan delegasi dari negara-negara ASEAN, Australia dan Jerman bagi membincangkan peranan TVET dalam merangsang pertumbuhan inklusif, memperkasa belia dan memajukan komuniti luar bandar. Antara fokus utama termasuk pertukaran inovasi, kerjasama industri serta transformasi negara melalui TVET.

Selaras dengan kerangka Malaysia MADANI, kerajaan meletakkan TVET sebagai agenda keutamaan negara menerusi peluasan akses pendidikan kepada pelajar luar bandar, penambahbaikan fasiliti latihan serta galakan kepada belia untuk membina kerjaya masa depan berasaskan kemahiran.

Pada tahun lepas, kemasukan pelajar ke institusi TVET melonjak kepada 436,285 orang dengan 53.5 peratus pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan tersebut.

Bagi tahun ini pula, setakat Mei, sebanyak 106,000 permohonan diterima daripada belia seluruh negara untuk mengikuti kursus TVET yang kini diselaraskan menerusi Unit Pengambilan TVET (UP_TVET) bermula April lepas.

Jumlah permohonan itu dijangka meningkat kepada sekurang-kurangnya 150,000 menjelang akhir Jun ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan serta petanda positif perubahan persepsi masyarakat terhadap TVET yang kini semakin diiktiraf sebagai pilihan kerjaya utama.

Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun merupakan manifestasi komitmen dan iltizam kerajaan untuk menjadikan bidang TVET sebagai platform utama dalam melahirkan tenaga kerja masa depan yang dinamik, berkemahiran dan berdaya saing.