Your Title

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen Malaysia memajukan integrasi kawal selia dan penjagaan kesihatan di ASEAN, meletakkan negara sebagai peneraju dalam pengeluaran barangan perubatan berteknologi tinggi dan inovasi penjagaan kesihatan di rantau ini.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan (KKM) perlu meningkatkan infrastruktur yang lebih baik, kemahiran tenaga kerja, peningkatan kemahiran dan integrasi Kecerdasan Buatan (AI), teknologi Internet Benda (IoT) serta 5G ke dalam sistem penjagaan kesihatan, melalui peruntukan RM45 bilion yang disediakan dalam Belanjawan 2025.

Beliau mengulangi bahawa semua usaha ini mesti dilaksanakan dengan cepat, cekap dan telus.

“Dengan peranan negara sebagai Pengerusi ASEAN yang semakin hampir pada 2025, Malaysia komited sepenuhnya untuk memajukan Pengaturan Pengiktirafan Bersama (MRA) dan menerajui usaha bagi mewujudkan rangka kerja kawal selia yang lebih cekap dan bersepadu di rantau ini.

“Matlamat kita bukan sahaja untuk mengurangkan halangan pasaran bagi pengeluar, tetapi juga untuk meningkatkan kebolehcapaian peranti perubatan yang selamat dan berkesan, akhirnya meningkatkan penjagaan pesakit dan mengukuhkan sistem penjagaan kesihatan di seluruh rantau ini,“ katanya dalam ucapan penutupnya pada majlis penutupan Pameran dan Persidangan Peranti Perubatan Antarabangsa (IMDEC) 2024 di KLCC hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

IMDEC 2024 yang berlangsung sejak 10 Dis menghimpunkan lebih 600 delegasi antarabangsa dan 10,000 pelawat dari pelbagai sektor industri penjagaan kesihatan, termasuk pengilang, badan kawal selia, ahli akademik dan inovator.

Dengan tema ‘Unleashing the Power of Medical Technology, Shaping the Future of Healthcare’ acara ini menyediakan platform untuk dialog industri, perkongsian ilmu pengetahuan dan kerjasama untuk menangani cabaran kritikal dan meneroka kemajuan teknologi yang mengubah sistem penjagaan kesihatan.

Dalam mengetengahkan penjagaan kesihatan sebagai asas pertumbuhan yang mampan, Anwar menjelaskan peranannya bersama tenaga dan pendigitalan dalam agenda strategik ASEAN.

“Teras jawatan Pengerusi ASEAN tahun depan ialah Grid Tenaga ASEAN dan pendigitalan. Penjagaan kesihatan telah dikenal pasti sebagai tonggak utama untuk pertumbuhan yang mampan, bukan sahaja di bawah strategi ASEAN tetapi juga Pelan Induk Perindustrian Baharu,” katanya.

Sejajar dengan usaha tersebut, Perdana Menteri turut melahirkan harapan agar KKM akan menjalani anjakan paradigma, dengan menekankan transformasi digital dan AI, yang memerlukan perubahan ketara, termasuk proses perolehan yang lebih telus dan penambahbaikan dalam sambungan rangkaian.

Merujuk kepada IMDEC 2024, Anwar berkata acara itu bukan sahaja mempamerkan keupayaan Malaysia tetapi juga aspirasi negara untuk menjadi pemain penting dalam teknologi perubatan di rantau ini.

“Mesyuarat tahunan Global Harmonization Working Party (GHWP) ke-28 tahun ini menandakan peristiwa penting bagi Malaysia sebagai tuan rumah, dan perhimpunan itu menyerlahkan peranan strategik Malaysia dalam mempromosi kecemerlangan kawal selia dan memudahkan kerjasama rentas sempadan.

“Itulah sebabnya saya telah merujuk kepada keperluan untuk memastikan kita mengikuti perkembangan baharu, membuat penyesuaian baharu, dan pemain utama dalam kementerian mesti memimpin dalam kedudukan bahawa anjakan paradigma ini dilaksanakan secepat mungkin, ” katanya.