LABUAN: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan hari ini diberi taklimat mengenai kemajuan, pencapaian dan hala tuju masa depan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA).
Penerangan yang diadakan sempena lawatan rasminya ke Labuan FSA itu turut merangkumi perjalanan 35 tahun pusat itu dalam usaha melengkapi ekosistem kewangan Malaysia serta potensi peluang perniagaan.
Amir Hamzah turut berbincang dengan kalangan pegawai Labuan FSA mengenai bidang pertumbuhan strategik termasuk memajukan sektor insurans melalui insurans kaptif, inovasi dalam kewangan Islam melalui tokenisasi sukuk dan pembangunan Sekolah Antarabangsa Labuan.
Ketua Pengarah Labuan FSA Affendi Rashdi berkata lawatan itu menyerlahkan komitmen kukuh kerajaan dalam meletakkan Labuan IBFC sebagai bidang kuasa yang dinamik dan pilihan utama untuk perniagaan antarabangsa.
“Kehadiran menteri mengukuhkan lagi usaha kerjasama antara Labuan FSA dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk mencapai objektif strategik Labuan IBFC,” katanya kepada Bernama hari ini.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri libat urus Menteri Kewangan II bersama-sama agensi MOF di Labuan. - Bernama