• 2025-07-28 04:48 PM

PUTRAJAYA: Mesyuarat khas antara Thailand dan Kemboja telah bermula di Putrajaya pada Isnin dengan tujuan untuk mencapai gencatan senjata dan menghentikan permusuhan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

Mesyuarat ini diusahakan oleh Malaysia menerusi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN, sebagai langkah untuk meredakan ketegangan yang semakin memuncak dan memulihkan kestabilan di kawasan sempadan yang terjejas akibat konflik.

Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai tiba di Seri Perdana pada 2.51 petang, diikuti oleh Perdana Menteri Kemboja Hun Manet tidak lama kemudian.

Ketibaan kedua-dua pemimpin disambut oleh Anwar.

Turut hadir dalam mesyuarat ini ialah Duta Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard Kagan, yang bertindak sebagai pemudah cara, dan Duta China ke Malaysia Ouyang Yujing sebagai pemerhati.

Pada Jumaat lalu, Anwar telah menghubungi Phumtham dan Manet secara berasingan, menggesa kedua-dua pemimpin untuk melaksanakan gencatan senjata serta kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan pertikaian.

Anwar sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia bersedia membantu dan memudah cara proses ini selaras dengan semangat perpaduan ASEAN dan tanggungjawab bersama.

Kedua-dua negara jiran ini mempunyai sejarah panjang pertikaian diplomatik di sepanjang 817 kilometer sempadan bersama yang belum dimuktamadkan.

Ketegangan antara Thailand dan Kemboja meningkat sejak 28 Mei lalu susulan insiden pertempuran tentera kedua-dua negara berhampiran kawasan sempadan yang dipertikaikan di Preah Vihear, yang mengorbankan seorang anggota tentera Kemboja.

Pertikaian sempadan terus memuncak pada Khamis (24 Julai), dengan pertempuran bersenjata tercetus di sepanjang sempadan utara Kemboja. – Bernama