SHAH ALAM: MIC masih sebuah parti yang mempunyai kekuatan dalam membela nasib masyarakat India di negara ini, kata Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran.

Beliau berkata meskipun parti itu tidak mempunyai kuasa dengan pemimpinnya tidak mempunyai sebarang jawatan dalam Kabinet, namun umum mengetahui kepentingan dan jasa MIC kepada masyarakat.

“Hari ini kita tidak ada apa-apa jawatan atau kuasa dalam kerajaan seperti dahulu, namun bukankah kita terus berdiri megah?

“Mengapa ada kegusaran dan persoalan dalam kalangan kita tentang kemampuan parti ini? Parti-parti yang memegang tampuk kuasa juga mengakui serta mengiktiraf kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MIC ke-78 di sini hari ini.

Mesyuarat itu yang akan dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi disertai 1,480 perwakilan, 100 ahli pemuda, 100 ahli wanita dan 177 pemerhati.

Vigneswaran berkata sehingga kini, MIC tetap hidup bermaruah dengan agenda yang jelas.

“Setakat ini, tiada parti yang mengangkat isu-isu dihadapi masyarakat India selain MIC dan ia tanggungjawab kita (ahli parti) untuk bersama-sama terus berusaha memperoleh keyakinan mereka (masyarakat India),” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas jemputan menyertai lawatan kerja Perdana Menteri ke India bulan lepas untuk bertemu Perdana Menteri India Narendra Modi.

Vigneswaran berkata beliau amat menghargai peluang diberikan Perdana Menteri yang mengambil kira pandangan MIC.

Justeru, beliau menyeru semua ahli sayap serta bahagian parti itu untuk melaksanakan tugas masing-masing dengan sempurna bagi mengangkat MIC ke tahap yang lebih baik.

Vigneswaran berkata beberapa penyelaras akan ditempatkan di bahagian-bahagian tertentu parti berkenaan sebagai usaha memperkukuh parti dan kempimpinannya dalam menghadapi cabaran masa depan.