KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memastikan industri mendapat akses kepada pasaran lestari, serta mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sumber, mengukuhkan tadbir urus dan mencapai sasaran sifar bersih negara.

Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata Laporan Kelestarian MITI 2023 yang dilancarkan hari ini bertujuan membangunkan industri dan sektor perdagangan yang menerapkan amalan mampan.

“Faktor utama pelancaran laporan ini untuk menunjukkan kepada pihak industri bukan sahaja kita mengharapkan mereka melaksanakannya malah sebagai (pentadbiran) kerajaan, sebuah kementerian seperti MITI juga perlu ada laporan sendiri.

“Cara kita menumpukan isu kelestarian, termasuk isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Hari Terbuka MITI 2024 di sini, pada Selasa.

Tengku Zafrul berkata laporan itu dihasilkan dan diterbitkan sepenuhnya secara dalaman dengan verifikasi audit pihak ketiga untuk tujuan jaminan.

“Usaha ini diharapkan akan mendorong lebih ramai pemain industri untuk memulakan pelaporan kelestarian mereka sendiri, kerana inisiatif ini bukan sahaja memanfaatkan alam dan generasi akan datang, malah juga meningkatkan daya saing perniagaan.

“Ini merupakan laporan kelestarian pertama seumpamanya di peringkat kementerian di negara ini dan merupakan susulan kepada pelancaran Rangka Kerja Nasional Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Industri (i-ESG) MITI pada tahun lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata Hari Terbuka MITI 2024 mempamerkan sebahagian pelaksanaan dasar industri MITI -- Dasar Automotif Nasional 2020, Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Beliau berkata hari berkonsepkan mesra rakyat itu memberikan tumpuan kepada lima elemen utama iaitu pelaburan, perdagangan antarabangsa, pembangunan industri, peluang pekerjaan dan seranta.

“Bagi mereka yang mencari kerja, karnival kerjaya kita menawarkan lebih 2,600 peluang pekerjaan oleh lebih 22 syarikat untuk para lepasan pengajian tinggi yang hadir.

“Kita juga memberi fokus kepada industri latihan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan antara penyedia latihan yang hadir hari ini ialah Jabatan Tenaga Manusia, Volkswagen Group Malaysia, German Malaysian Institute, AERO Malaysia Engineering Center dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Shah Alam,” katanya.

Open Two Websites with Image

Clickable Image