JOHOR BAHRU: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menghubungi rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand hari ini, bagi memaklumkan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) antara kedua-dua negara itu.
Beliau berkata panggilan telefon berkenaan merupakan langkah awal sebelum diadakan sidang video tiga hala menerusi aplikasi Zoom bersama kedua-dua menteri pertahanan itu.
“Saya akan hubungi masing-masing untuk maklumkan kesediaan Malaysia menjadi tuan rumah. Selepas itu, barulah kita adakan mesyuarat Zoom secara bersama bagi menentukan agenda perbincangan supaya mesyuarat minggu depan dapat berjalan lancar.
“Sebelum mesyuarat antara menteri pertahanan diadakan, pegawai-pegawai dari semua pihak akan bertemu terlebih dahulu di Wisma Perwira, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita selepas persmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Muafakat Taman Mawar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dilaporkan akan memudah cara Mesyuarat GBC antara Thailand dengan Kemboja di Kuala Lumpur dari 4 hingga 7 Ogos ini.
Menurut kenyataan Markas Angkatan Tentera Malaysia Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, mesyuarat GBC itu bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lepas.
Mesyuarat itu pada asalnya dijadual berlangsung di Phnom Penh pada 4 Ogos ini.
Bagaimanapun, pada 31 Julai lepas, Thailand mengemukakan cadangan agar mesyuarat diadakan di Malaysia sebagai lokasi berkecuali dan tempoh perbincangan dipanjangkan berbanding hanya sehari sebelum ini. - Bernama