KUALA LUMPUR: Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKS PA) Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Left Jen Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik Panglima ATM ke-23 berkuat kuasa hari ini.
Majlis serah terima tugas itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan di sini, hari ini.
Mohd Nizam, 59, mengambil alih jawatan berkenaan daripada Jen Tan Sri Mohammad Ab Rahman, yang tamat perkhidmatan pada hari ini.
Terdahulu, Mohd Nizam dinaikkan pangkat kepada Jeneral dalam majlis itu, bagi membolehkan beliau menjawat jawatan berkenaan.
Mohd Nizam yang merupakan seorang pegawai Tentera Darat dinaikkan pangkat ke Left Jen pada 23 Feb tahun lepas dan pernah menjawat jawatan penting antaranya Komandan Kolej Pertahanan Nasional, Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat serta Panglima Briged Infantri ke-2 Tentera Darat.
Anak kelahiran Johor Bahru itu bermula sebagai Ketua Platun di Batalion ke-19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mekanize) dan seterusnya dipertanggungjawabkan sebagai Juruiring (Aide-De-Camp) kepada Timbalan Panglima Tentera Darat pada 1989 hingga 1990, Panglima ATM (1990 hingga 1992) dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-14 (2011-2016).
Graduan Royal Military Academy Sandhurst, England itu pernah menghadiri pelbagai kursus kerjaya di dalam dan luar negara antaranya kursus Junior Command and Staff College di Bangladesh, Mid Career Management Course di Pakistan, Command and General Staff College Fort Leavenworth di Amerika Syarikat dan Le Collège Interarmées de Défense di Perancis.
Mohd Nizam juga menamatkan pengajian di Maktab Ketahanan Nasional, Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Putrajaya dan telah dianugerahkan The National Resilience College (NRC) Award oleh NRC Directing Staff Council.
Selain itu, beliau juga merupakan graduan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada University of Nottingham dan dianugerahkan sebagai Fellow Scholar di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Di peringkat antarabangsa, Mohd Nizam mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat sebelum dilantik sebagai Komander Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 2 di Lubnan.
Hadir sama pada majlis itu Panglima Tentera Darat Jen Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut Laksama Datuk Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.