KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengadakan perbincangan bersama Institut Jantung Negara (IJN) bagi meneliti permohonan meningkatkan kadar yuran hingga 40 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata KKM tidak dapat mempengaruhi yuran yang dikenakan kepada pesakit dirawat IJN kerana institusi itu bukan agensi di bawah kendaliannya.

“IJN adalah institusi di bawah Kementerian Kewangan dan KKM adalah klien kepada IJN. Apa yang berlaku ketika ini adalah keputusan daripada pihak IJN. Kita akan berbincang dan meneliti punca peningkatan kos ataupun fi yang mereka kenakan kepada pesakit.

“Ini juga akan memberikan impak kepada KKM kerana kita masih menghantar pesakit yang dirujuk ke IJN,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, IJN dilaporkan memohon kenaikan 10 hingga 40 peratus yuran dikenakan terhadap pesakit yang dikemukakan KKM dengan alasan ia masih mengenakan kos asal kepada kerajaan seperti ditetapkan pada 2003.