PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MOT) akan memfokuskan usaha menangani isu kenderaan berat dengan muatan berlebihan khususnya menerusi aspek perundangan tahun ini, kata menterinya Anthony Loke.
Beliau berkata pihaknya meneliti keperluan pindaan dan penambahbaikan terhadap undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333], Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715] dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 [Akta 334].
Loke berkata ia termasuk mengkaji keperluan bagi penetapan kadar kompaun dan denda mengikut peratusan lebih muatan bagi kesalahan membawa muatan berlebihan.
“Tahun ini memang fokus kita nak betul-betul mahu tangani isu lebihan muatan yang telah berlanjutan berpuluh tahun.
“Usaha ini memerlukan banyak tindakan bersepadu,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Kementerian Pengangkutan di sini hari ini.
Loke berkata pihaknya akan meneliti ekosistem logistik selain bekerjasama dengan pihak pelabuhan bagi menyelesaikan masalah kenderaan membawa muatan berlebihan.
“Kita turut mengkaji kewajaran mengenakan liabiliti terhadap pihak consignee (penerima) yang mungkin turut bertanggungjawab dalam ekosistem kesalahan membawa muatan berlebihan,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata MOT juga akan melihat kerangka perundangan bagi mewartakan peraturan kenderaan pick-up untuk membawa barangan atau muatan dengan selamat selagi ia tidak melebihi had muatan dibenarkan.
“Perkara ini bagi memastikan keseragaman dan teratur dari aspek perundangan dan penguatkuasaan di lapangan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kementeriannya akan menilai semula dasar pendaftaran dan penggunaan kenderaan ‘rebuild’ bagi memastikan hanya kenderaan berat yang mempunyai integriti, keselamatan dan kualiti terbaik dibenarkan berada di atas jalan raya.
“Untuk itu, MOT akan bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk menilai semula secara menyeluruh dasar ini,” katanya.
Berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan, beliau berkata terdapat 145,836 unit kenderaan ‘rebuild’ yang berstatus aktif manakala 38,000 yang tidak aktif di seluruh negara ketika ini.