Your Title

MOTAC salur RM970,000 geran GSSK kepada Kedah

ALOR SETAR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyalurkan sebanyak RM970,000 Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) kepada 14 persatuan seni, bagi melaksanakan aktiviti seni dan budaya di Kedah.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC Datuk Mohd Yusri Mohd Yusoff berkata geran itu, bertujuan menyokong usaha memelihara seni dan budaya, selain merancakkan program serta aktiviti kesenian sempena Tahun Melawat Kedah 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“MOTAC melalui urus setia GSSK telah menyediakan satu insentif berbentuk geran sokongan bagi memperbanyakkan prasarana aktiviti seni dan budaya seluruh Malaysia.

‘Sehingga Oktober tahun ini, sebanyak RM970,000 telah disalurkan kepada 14 persatuan dan syarikat seni di Kedah, ini menandakan betapa sayangnya MOTAC kepada Kedah yang kita tahu mempunyai banyak nilai seni, warisan dan budaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Salleh Saidin.

Mohd Yusri berkata selain itu, sebanyak RM86,600 turut disalurkan kepada sembilan persatuan seni di Kedah menerusi bantuan Insentif Seni Kewangan, melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN).

“Sebanyak RM1.06 juta juga telah disalurkan kepada lima persatuan seni dan budaya di bawah peruntukan Bantuan Jawatankuasa Pemberian Bantuan Kerajaan (JPBK), dan diharapkan semua ini dapat menyemarakkan seni dan budaya dan pelancongan Kedah di peringkat lebih tinggi, sekali gus mendokong kejayaan Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021,” katanya.

Sementara itu, Salleh dalam ucapannya berkata penganjuran TOK 2024 sebagai pemangkin kepada usaha kerajaan negeri untuk merancakkan lagi Kempen Tahun Melawat Kedah 2025, serta merancakkan ekonomi setempat.

“Diharapkan seramai150,000 orang hadir dan memberi pulangan kepada pelaburan (ROI) berjumlah RM250,000, program yang berpaksikan seni dan budaya seperti ini akan terus diperbanyakkan lebih-lebih lagi bersempena TMK 2025 nanti,” katanya.

TOK 2024 yang bermula sejak Khamis hingga esok, menyediakan pelbagai aktiviti kepada pengunjung termasuk pameran tanjak negeri Kedah, demontrasi masakan Kedah, permainan tradisional dan pertandingan Lenggok Oghang Kedah.

Pada program itu, ia turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBR) untuk Pengiring Tetamu Kehormat Teramai yang menghimpunkan 1,931 orang pesilat daripada pelbagai perguruan dan persembahan Tarian Tradisional Inang Ghenek oleh 30 penari cilik serta persembahan muzik tradisional pelbagai kaum yang digabungkan dalam satu rentak irama.