SEPANG: Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Malaysia Airport Holdings Bhd meningkatkan saringan ke atas pengembara yang memasuki ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menangani risiko penularan mpox.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata setiap pengembara yang baru tiba dengan penerbangan antarabangsa akan disaring menggunakan mesin pengimbas suhu.
“Selain itu, sekiranya penerbangan itu dari negara berisiko atau ada penumpang bergejala, semua penumpang dan kru kapal yang terlibat akan dibawa ke pusat saringan kesihatan KKM berhampiran pintu C22 dan saringan akan dibuat di sana.
“Sekiranya ada yang bergejala seperti suhu tinggi, kulit melepuh dan bengkak kelenjar, individu itu akan diberi kad amaran kesihatan dan dirujuk ke fasiliti kesihatan terdekat,“ katanya kepada media selepas melawat KLIA Terminal 1 di sini hari ini.
Mengiringi beliau Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Pegawai Kesihatan KLIA Dr Mohd Nasir Habib.
Dzulkefly berkata sejak 16 Ogos hingga hari ini, seramai 3.26 juta pengembara telah disaring di pintu-pintu masuk antarabangsa seluruh negara.
“Setakat ini, tiada kes yang dikesan positif,“ katanya sambil menambah sebanyak 34 kes disyaki mpox dilaporkan di fasiliti kesihatan iaitu 33 kes disahkan negatif dan satu kes masih menunggu keputusan makmal.
Beliau berkata pada masa ini seramai 30 kakitangan KKM ditempatkan di pintu masuk antarabangsa KLIA Terminal 1 pada setiap masa dan pihaknya bersedia menambah tenaga kerja sekiranya diperlukan.
Pintu masuk antarabangsa lain di seluruh negara sama ada melalui darat, laut dan udara turut melaksanakan proses yang sama, katanya.
Penyakit mpox diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa buat kali kedua pada 14 Ogos lepas.
Penyebaran virus clade llb itu bermula pada 2022 dan berterusan hingga hari ini termasuk di beberapa negara Afrika.
Mpox lazimnya merebak antara manusia melalui kontak rapat dengan individu yang dijangkiti.
Jangkitan juga berlaku melalui sentuhan rapat secara langsung dengan ruam atau lepuh pada kulit individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox atau melalui pendedahan kepada cecair respiratori semasa hubungan intim.