Your Title

GEORGE TOWN: Sebahagian kawasan Tapak Pesta Sungai Nibong di sini dalam perancangan untuk diambil alih bagi mendirikan depoh projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata cadangan tersebut telah dibentangkan MRT Corp selaku pemaju dan pemilik aset kepada kerajaan negeri, namun ia masih di peringkat cadangan konsep.

“Cadangan MRT Corp adalah untuk membina satu lagi depoh di tapak pesta, bukan depoh utama tapi depoh sekunder sebab depoh utama akan dibina di Pulau Silikon.

“Depoh ini untuk penyelenggaraan dan kerja-kerja pembersihan selepas tamat waktu perkhidmatan dan sebagainya yang berkonsepkan Pembangunan Berorientasikan Transit atau Transit Oriented Development (TOD) yang digabungkan dengan kemudahan pengangkutan awam dalam pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong di sini, malam tadi, yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Terdahulu, Chow dalam ucapannya memberitahu Pesta Pulau Pinang ke-58 berkemungkinan menjadi edisi terakhir dianjurkan di Tapak Pesta Sungai Nibong sebelum acara itu berpindah ke lokasi lain pada penganjuran edisi akan datang, berikutan sebahagian daripada kawasan tersebut terlibat dengan projek pembangunan LRT Laluan Mutiara.

Chow berkata ketika ini rundingan secara mendalam mengenai cadangan itu belum lagi dimulakan dan ia hanya akan diperincikan selepas kontrak utama bagi projek itu dimuktamadkan kelak.

“Dari segi konsep, tapak ini diperlukan untuk satu stesen iaitu cadangan pembinaan depoh sekunder bercampur dengan pembangunan TOD, maksudnya pengangkutan awam menjadi sebahagian daripada pembangunan ini sebab selain stesen LRT dan depoh sekunder kita ada terminal bas, terminal teksi yang boleh dimasukkan dalam cadangan ini,” katanya.

Sementara itu, mengenai lokasi penganjuran Pesta Pulau Pinang akan datang, Chow berkata setakat ini kerajaan negeri belum lagi mencari tapak alternatif tetapi memberitahu ia tetap akan dianjurkan seperti biasa di lokasi lain.