SEREMBAN: Seorang mudir dan pengerusi madrasah, masing-masing didenda RM1,700 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas pertuduhan menguruskan sekolah Islam di Negeri Sembilan tanpa perakuan pendaftaran.
Hakim Syarie Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu terhadap mudir Ahmad Azam Jaafar, 46, dan pengerusi madrasah Lutfi Mohamad Hamin, 58, selepas meneliti hujahan pihak pendakwaan dan mempertimbangkan rayuan tertuduh.
Kes berkenaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan Rohaizad Redzuan bagi tuduhan terhadap Ahmad Azam, manakala seorang lagi Pendakwa Syarie Kanan Mohd Azizuddin Abdullah Halim bagi kes Lutfi Mohamad.
Ahmad Azam didakwa menguruskan sebuah madrasah di Kampung Senama, Rembau tanpa mendapatkan perakuan pendaftaran Pendaftar Sekolah Islam di bawah Seksyen 13 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996.
Kesalahan berkenaan dilakukan antara Februari 2023 hingga September lepas, manakala Lutfi melakukan kesalahan sama bagi menguruskan madrasah di Kampung Ulu Beting, Kuala Pilah antara Disember 2021 hingga September tahun ini.
Kesemua kesalahan itu dituduh mengikut Seksyen 22 Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam 1996, iaitu menguruskan sekolah Islam tanpa perakuan pendaftaran, dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000, penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.
Ahmad Azam merayu mahkamah meringankan hukuman kerana tiada pendapatan tetap selain perlu menyara dua isteri dan 15 anak, manakala Lutfi yang turut mempunyai dua isteri dan 12 anak masih bersekolah juga membuat rayuan sama.
Hakim kemudian menetapkan kedua-dua tertuduh dikenakan denda RM1,700 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, Lutfi yang turut didakwa mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah iaitu perbuatan bertentangan dengan hukum syarak di sebuah madrasah di Kuala Pilah pada Disember 2021 sehingga September lepas, bagaimanapun mengaku tidak bersalah.
Dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 52 Enakmen-Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 iaitu perbuatan salah boleh dihukum denda maksimum RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Selain Lutfi, seorang timbalan mudir Muhammad Ghazalyi Othman, 54, yang berdepan pertuduhan sama mengaku tidak bersalah atas perbuatan dilakukan pada penghujung 2022 sehingga September lepas di sebuah madrasah di Rembau.
Hakim kemudian menetapkan bon jaminan bagi Lutfi berjumlah RM3,000 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 22 Jan 2025, manakala bon jaminan bagi Muhammad Ghazalyi dikekalkan RM2,000 dan perbicaraan seterusnya pada 4 Feb 2025.