KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi) Agensi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu berkuat kuasa hari ini.
Muhammad Rawi menggantikan Dr Rosli Darmawan yang bersara wajib pada 3 Julai lepas.
Pelantikan beliau dibuat berdasarkan kelayakan, pengalaman luas dan kepakaran dalam bidang penyelidikan teknologi nuklear.
Beliau memegang ijazah pertama Sains Gunaan dalam bidang fizik gunaan dari Universiti Sains Malaysia.
Muhammad Rawi juga memiliki ijazah sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang kejuruteraan bahan dan mekanik (Finite Element Method).
Beliau memperoleh ijazah kedoktoran falsafah dalam bidang fizik (Strain Induced Crystallization) dari Keele University, England.
Pengalaman beliau merangkumi teknologi radioisotop terkedap dalam industri dan pemodelan finite element bagi mekanik bahan.
Muhammad Rawi pernah memegang tanggungjawab sebagai ketua seksyen dan pengurus reaktor TRIGA PUSPATI selama lima tahun.
Beliau juga berkhidmat sebagai ahli Pasukan Penasihat Keselamatan Reaktor Penyelidikan Nuklear di rantau Asia Pasifik.
Fokus penyelidikan beliau meliputi pengimejan neutron radiografi dan tomografi di reaktor TRIGA PUSPATI.
Muhammad Rawi pernah melakukan eksperimen pengimejan neutron di reaktor penyelidikan JRR3-M di Jepun, Siwabessy di Indonesia dan OPAL di Australia.
Agensi Nuklear Malaysia turut mengumumkan pelantikan Dr Ishak Mansor sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi).
Agensi tersebut yakin kepimpinan baharu ini akan terus melakar kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi nuklear.
Seluruh warga kerja Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan tahniah di atas pelantikan tersebut. – Bernama