GUA MUSANG: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Muhyiddin, 77, membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan lapang berhampiran Dewan Semai Bakti Felda Perasu di sini, dan didapati telah menyebut perkataan menghasut antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Presiden Bersatu itu didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan enam Timbalan Pendakwa Raya diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Muhyiddin diwakili lima peguam iaitu Amer Hamzah Arshad, Chetan Jethwani, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Mohd Nasir Abdullah dan Mariana Mat Kudin.

Semasa prosiding, Umar Saifuddin mencadangkan jaminan RM20,000 kepada Muhyiddin, namun Amer Hamzah pula memohon supaya kadar ikat jamin dikurangkan dengan mengambil kira kes-kes terdahulu di bawah seksyen sama yang memperuntukkan jumlah denda tidak melebihi RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan semula kes.