• 2025-07-06 10:58 AM

LOS ANGELES: Jutawan teknologi Elon Musk pada Sabtu mengumumkan penubuhan “Parti Amerika”, yang menurutnya bertujuan mengembalikan kebebasan rakyat, susulan keputusan tinjauan pendapat dalam talian yang menunjukkan sokongan kuat terhadap kewujudan kuasa politik baharu, lapor Xinhua.

“Hari Kemerdekaan merupakan masa terbaik untuk bertanya sama ada anda mahukan kebebasan daripada sistem dua parti (yang sesetengah anggap sebagai satu parti tunggal),” tulis Musk dalam hantaran pada Jumaat ketika melancarkan tinjauan itu.

Lebih 65 peratus daripada 1.2 juta responden menyokong idea berkenaan.

Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Musk menulis pada Sabtu: “Dengan nisbah 2 kepada 1, anda mahukan parti politik baharu dan anda akan dapatkannya! Apabila negara kita dibebani pembaziran dan penyelewengan, kita sebenarnya hidup dalam sistem satu parti, bukan demokrasi.”

Menurut Musk, Parti Amerika akan memberi tumpuan khusus kepada dua atau tiga kerusi Senat dan antara lapan hingga 10 kerusi di Dewan Perwakilan — strategi yang dilihat berpotensi mempengaruhi keseimbangan kuasa dalam Kongres yang kini terbahagi secara hampir seimbang.

Namun, pakar undang-undang pilihan raya menegaskan bahawa kemasukan parti baharu berdepan halangan tinggi. Di California, sebagai contoh, penganjur perlu mendaftarkan sekitar 75,000 ahli atau mengumpulkan 1.1 juta tandatangan untuk melayakkan parti muncul di kertas undi.

Penganalisis politik pula berpandangan bahawa langkah Musk mungkin lebih bersifat tekanan terhadap penggubal undang-undang berbanding usaha membina parti ketiga yang berdaya tahan.

Ia dibuat susulan kelulusan Rang Undang-Undang “One Big Beautiful Bill” oleh Presiden Donald Trump yang antara lain memotong insentif kenderaan elektrik dan meningkatkan perbelanjaan persekutuan — langkah yang ditentang oleh Musk, memandangkan syarikatnya Tesla mendapat manfaat daripada subsidi EV.

Musk sebelum ini turut mengancam untuk membiayai calon-calon yang mencabar ahli-ahli Kongres yang menyokong rang undang-undang itu.

Trump pula memberi bayangan akan menilai semula apa yang disebutnya sebagai “berbilion dolar dalam bentuk subsidi” berkaitan dengan projek-projek yang dikaitkan dengan Musk.

Pemerhati politik melihat tindakan Musk lebih menyerupai taktik tawar-menawar berprofil tinggi berbanding permulaan kepada perubahan besar dalam sistem politik AS.